Rabu, 27 Disember 2017

Felda bagi Reduan cuti

ARKIB : 03/03/
KUALA LUMPUR - Pengurusan kelab Felda United mengarahkan ketua jurulatihnya, Reduan Abdullah yang digantung setahun kerana kenyataan akhbarnya terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bercuti dengan gaji selama sebulan sementara menantikan proses rayuan kesnya.

Presiden kelab Liga Perdana itu, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab berkata, tugas melatih pasukan kini diambil alih sementara oleh penolongnya, Ahmad Fairuz Yunus sambil dibantu Ridzuan Abu Shah dan Zamzuri Mohd. Noor khususnya mulai perlawanan menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 13 Mac ini.

"Memandangkan Reduan tidak boleh terlibat dengan sebarang kegiatan bola sepak, kami perlu susun semula pasukan dan program persediaan liga. Kami perlu bertindak cepat untuk mendapat kedudukan liga yang lebih baik," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Reduan di Wisma Felda semalam.

Mesyuarat itu berupa satu siasatan rasmi Felda United terhadap bekas pemain tengah Selangor dan Malaysia era 70-an hingga 80-an ini yang digantung setahun dan didenda RM4,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, Khamis lalu kerana kenyataannya berhubung pemantauan terhadap Ujian Kecergasan Yoyo.

Kata Dzulkifli yang juga pengurus pasukan, proses rayuan terhadap hukuman FAM itu kini terpulang kepada Reduan sebagai individu tetapi pengurusan perlu meletakkan kepentingan Felda United melebihi segala-galanya dan perjuangan pasukan perlu diteruskan dalam apa juga keadaan yang mendatang.

Mengenai sama ada hukuman FAM itu terlalu keras buat Reduan yang mempunyai rekod disiplin yang baik termasuk ketika karier sebagai pemain, Dzulkifli enggan mengulas malah menyifatkannya satu soal yang berlainan untuk dikaitkan dengan penajaan Felda dalam Liga Futsal Kebangsaan yang mungkin terjejas selepas ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz52T8pIwRC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 18 Disember 2017

Reduan harap Felda Utd. fokus

ARKIB : 31/01/2009
KUALA LUMPUR - Nasihat khas buat pemain Felda United dalam pertemuan Piala FA pusingan pertama hari ini menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) ringkas tetapi padat - jangan hilang fokus.

Pesanan tersebut disampaikan oleh jurulatihnya, Mohd. Reduan Abdullah yang mahu anak buahnya menumpukan sepenuhnya dalam perlawanan menentang PDRM dan tidak memandang mudah.

''Saya mahu mereka mengekalkan rentak permainan seperti biasa dan cuba yang terbaik dalam perlawanan esok (hari ini) untuk mencari bekalan selesa dalam perlawanan timbal balik,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, PDRM dijangka memberi tentangan sengit dan cuba untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin untuk dibawa pada perlawanan kedua, Selasa depan.

''Jadi saya mengharapkan mereka bermain seperti biasa dan bermain seperti mana yang mereka lakukan sebelum ini kerana walaupun dalam saingan yang berbeza (Piala FA) bukannya Liga Perdana.

''Saya mengharapkan mereka mampu untuk memperoleh jaringan awal untuk memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah (PDRM) dan cuba menguasai perlawanan,'' kata bekas pemain Selangor itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51bGQZVBK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

Felda United sudah bersedia

ARKIB : 09/01/2009
KUALA LUMPUR - Pasukan Felda United sudah bersedia sepenuhnya untuk turun beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana 2009 menentang PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.

Menurut jurulatihnya, Mohd. Reduan Abdullah, perlawanan pertama memang amat penting dalam menguji kemampuan dan prestasi pemain selepas melakukan persediaan rapi sebelum ini.

''Saya harap kami mampu meraih tiga mata dan menunjukkan persembahan menarik, mempamerkan apa yang telah kami lakukan semasa latihan,'' kata Reduan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, pemain harus mempamerkan kemampuan sebenar dan dalam masa yang sama tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan.

''Saya menasihati mereka supaya turun beraksi esok (hari ini) dengan keazaman yang tinggi dan jangan memandang rendah kemampuan PKNS. Ini adalah perlawanan pertama sudah tentu pasukan lawan juga berazam untuk mencatatkan kemenangan, pemain tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini,'' katanya.

Menurut bekas pemain Selangor itu, perlawanan pertama ini juga akan menjadi ruang untuk melihat kelemahan pasukan dan akan diperbaiki untuk perlawanan seterusnya.

''Walaupun kami sudah bersedia tetapi kelemahan yang terdapat pada pasukan tidak begitu ketara dan di atas padang nanti kita akan melihatnya dalam perlawanan sebenar.

''Ada pemain yang masih cedera dan ada pemain yang masih kurang cergas, bagaimanapun saya yakin dengan kemampuan pemain yang bakal beraksi nanti,'' kata Reduan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51IYHHpHC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Felda mahu layak ke Liga Super

ARKIB : 14/10/2008
KUALA LUMPUR - Selepas mempamerkan aksi mantap musim lalu, Felda United bertekad untuk beraksi cemerlang sebaik musim baru bermula Januari ini bagi mencapai sasaran layak ke Liga Super pada masa akan datang, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Dr. Yusof Nor, Felda United sudah memberi laluan kepada pasukan lain musim lepas dan kali ini tidak akan memberi ruang lagi.

''Kita tidak berjaya layak ke Liga Super musim lepas sebab kita beri laluan kepada pasukan lain, tapi kita tidak akan beri laluan selama-lamanya... musim baru ini kita pula akan beraksi di Liga Super,'' katanya dalam nada berseloroh selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Felda United Musim 2008/09 di sini semalam.

Jelasnya, beliau bangga dengan pencapaian musim lepas, walaupun berada di pertengahan liga serta dibarisi pemain muda.

''Saya berharap kedatangan lima pemain baru, Nazrulerwan Makmor (KL PLUS), Zainal Rabin (Perlis), Rashid Mamud (Pahang), Chow Chee Weng (Sabah) dan Hasmawi Hassan (Kedah) dapat memperkuatkan lagi pasukan Felda United.

''Tidak kira di mana posisi mereka beraksi tetapi sebagai satu pasukan semua pemain mempunyai peranan masing-masing,'' katanya.

Ujarnya, persaingan kali ini dianggap lebih terbuka kerana semua pasukan tidak menggunakan khidmat pemain import.

''Inilah peluang bagi pemain tempatan membuktikan kehebatan mereka selepas ketiadaan pemain import, khususnya Felda United jika mahu mara ke peringkat yang lebih jauh.

''Pasukan ini memegang amanat yang besar kerana setiap negeri mempunyai kawasan Felda masing-masing dan sentiasa mendapat sokongan padu dari warga Felda,'' kata Yusof.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab berkata, tiada masalah pembayaran gaji menyebabkan ramai pemain berpengalaman memilih untuk mewakili Felda United.

''Semua pemain Felda United menerima pembayaran gaji tepat pada masanya seperti mana yang diterima oleh kakitangan Felda jadi tidak timbul masalah pemberian gaji kepada pemain.

''Selain itu gaji mereka dibayar terus oleh Felda dan kami sentiasa mengutamakan kebajikan pemain,'' katanya.

Dalam Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Felda United Musim 2008/09, pasukan itu turut menerima tajaan RM100,000 dari penaja utama, Felda D'Saji.

Kelab bola sepak Felda United telah ditubuhkan pada 2006 hasil cetusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50vs4NSeg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Felda United beli 25 pemain baru

ARKIB : 06/10/2008
KUALA LUMPUR - Bagi memastikan impian layak ke Liga Super pada 2010, pasukan berstatus kelab, Felda United meletakkan sasaran untuk menduduki dua tempat teratas pada saingan Liga Perdana 2009 yang akan bermula Januari depan.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Felda United, Faisal Zakariah berkata, bagi memastikan impian itu tercapai, mereka mengekalkan Reduan Abdullah sebagai jurulatih.

"Beliau telah berjaya membimbing Felda United layak ke Liga Perdana pada musim lepas walaupun kita sebenarnya meletakkan sasaran beraksi dua musim di dalam Piala FAM," katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Faisal berkata, pasukan tersebut akan berwajah baru musim depan bila terpaksa menggugurkan sebahagian besar muka lama di samping mencari pemain baru kerana saingan di Liga Perdana adalah lebih sengit berbanding Piala FAM.

"Kita terpaksa menggugurkan sekurang-kurangnya 14 pemain bagi memastikan akan wujud pasukan yang benar-benar mantap menjelang saingan musim baru pada Januari tahun depan," katanya.

Faisal berkata, mereka telah memulakan pembelian 25 pemain yang telah memulakan latihan pada 15 September lepas.

Musim lepas, Felda United berjaya memenangi tujuh daripada 24 perlawanan manakala Khairul Izwan Khalid merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan tujuh gol.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50X0D1K9q

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Felda tampil dengan tajaan RM9 juta

ARKIB : 05/09/2008
Felda tampil dengan tajaan RM9 juta
KELANA JAYA - Felda tampil memberi komitmen besar dalam pembangunan sukan bola sepak negara apabila bersetuju menaja RM9 juta untuk menganjurkan buat kali pertama Liga Futsal Kebangsaan bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengumuman mengenai penganjuran sulung liga futsal itu dibuat oleh pengerusi jawatankuasa futsal FAM, Hamidin Mohd. Amin, semalam.

Menurut Hamidin, kesediaan Felda ini membolehkan FAM menganjurkannya untuk tiga musim berturut-turut.

Katanya, pelancaran rasmi liga futsal ini akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas hari raya nanti.

"Buat permulaan musim 2008/2009 akan membuka tirainya dari 30 Oktober tahun ini hingga 23 Februari tahun depan.

"Ia bakal membabitkan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita dari semua 14 negeri di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Felda sendiri serta tujuh lagi pasukan kelab seperti dalam Liga Malaysia.

"Sebanyak RM213,000 hadiah wang tunai ditawarkan kepada pasukan-pasukan yang bertanding," katanya.

Sama seperti Liga Malaysia, format Liga Futsal Kebangsaan juga menawarkan tiga kejuaraan iaitu juara liga, Piala FAM/Felda (ala Piala FA) dan Piala Perdana (ala Piala Malaysia).

Untuk saingan liga, semua pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan untuk bersaing dalam empat sirkit pertandingan.

Juara setiap kumpulan akan layak untuk bersaing dalam sirkit kelima yang dilangsungkan secara liga untuk menentukan juara liga.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50N9jLCJF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 November 2017

Felda harap unsur kejutan



ARKIB : 21/04/2008 
KUALA LUMPUR - Menang 2-0 dalam suku akhir kedua bola sepak Piala FA untuk mara ke separuh akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan mungkin masih sukar buat Felda United tetapi bukan mustahil untuk dicapai kerana persaingan kalah mati ini memiliki unsur kejutan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kesukaran itu kata jurulatihnya, Reduan Abdullah, cuma benar di atas kertas setelah Terengganu mendahului 3-1 daripada perlawanan pertama di Kuala Terengganu, 8 April lalu namun baki perhitungan 90 minit sebenar di padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur mungkin dapat mengubah andaian itu.

Elemen kejutan Piala FA kadangkala membantu pasukan bukan pilihan menggugat pasukan handalan sebagaimana juara bertahan Kedah yang dikejutkan PKNS 2-0 di Alor Star sebelum melepasi perlawanan pusingan pertama, Mac lalu itu dengan agregat 5-4.

Reduan, bekas pemain tengah negara era 70-an berkata: "Kami perlu lebih menyerang untuk mencapai keputusan itu (esok) sambil pertahanan diperkuatkan supaya tidak hilang tumpuan dan memberikan gol awal seperti dengan Kuala Muda (kalah 1-0 dalam Liga Perdana, Jumaat lalu).

"Memang sukar mengejar ketinggalan dua gol tetapi bukan bererti Felda United tidak boleh menyaingi sebuah pasukan Liga Super seperti Terengganu dengan satu persembahan yang baik dan tentangan sengit," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kata Redzuan, kekalahan 1-0 dengan Kuala Muda dalam Liga Perdana, Jumaat lalu juga diharap dapat mematangkan anak buahnya untuk bangkit menyekat Terengganu yang tumbang 4-2 kepada Pulau Pinang di Kuala Terengganu (Liga Super, kelmarin).

"Suku akhir pertama dengan Terengganu memberitahu kami bahawa sebarang ruang untuk lawan, wajar ditutup dengan cepat dan benteng kami wajar mengurangkan kesilapan. Bagi kami setiap peluang amat berharga dan tidak boleh dibazirkan seperti menentang Kuala Muda lalu," katanya.

Felda United yang membuat penampilan sulung dalam Liga Perdana musim 2007-2008 sekali gus mula menyertai Piala FA ke-19 ini, merapatkan kedudukan suku akhir pertama di Kuala Terengganu dengan gol Badrul Afzan Razali - bekas pemain skuad Penyu itu.

Reduan bagaimanapun menolak kemungkinan untuk membuat rombakan besar-besaran pada kesebelasan utamanya kerana masih meyakini kemampuan pemain asal selagi mereka terus menanam fikiran dan berpandangan positif dalam menghadapi Terengganu.

Kemaraan anak didik Reduan ke suku akhir bagaimanapun masih satu pencapaian yang membanggakan bersama tiga lagi pasukan Liga Perdana - Sabah, Kuala Muda dan Melaka yang masing-masing menentang kelompok Liga Super - Pahang, Selangor dan Kedah.

"Lawan seperti goyah apabila kalah kepada Pulau Pinang dan mungkin menjejaskan tumpuan dan semangat pemainnya lalu ini satu peluang yang mungkin dapat kami pergunakan untuk mencatat satu keputusan di luar dugaan," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9iK94x8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Jangan salahkan pemain – Dollah



ARKIB : 28/03/2008 
SHAH ALAM – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh semalam mahu empat pemainnya tidak dipersalahkan gara-gara meninggalkan klinik yang dikendalikan oleh legenda bola sepak Liverpool, Ian Rush anjuran Liga Super Malaysia sehari lebih awal.

Empat pemain Selangor – Mohd. Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Akmal Rizal Rakhli dilaporkan meninggalkan klinik tiga hari itu untuk berlatih bersama pasukan Selangor di Shah Alam menjelang aksi penting pusingan kedua Piala FA.

‘‘Saya tidak salahkan pemain. Mereka juga terkeliru tentang siapa yang harus dipatuhi. Saya memang memerlukan mereka tetapi ia tidak bermakna kami menentang peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

‘‘Selama ini pun, kami memang patuh kepada FAM. Tahun lepas, empat pemain saya tidak dapat beraksi pada suku akhir Piala Malaysia kerana terlibat bersama pasukan kebangsaan di Australia.

‘‘Bezanya, kali ini saya terpaksa memanggil mereka menyertai latihan kerana menganggap ia hanya satu sesi klinik dan bukannya latihan pasukan kebangsaan,” kata Dollah.

Menurut Dollah, beliau bersama Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin merangkap pemangku pengurus pasukan akan memberi penjelasan kepada FAM berhubung perkara itu.

Ketika memberikan reaksi kelmarin, Setiausaha Agong FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata, beliau telah meminta laporan penuh daripada jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan.

Malah Azzudin mahukan keempat-empat pemain itu memberikan penjelasan bertulis mengapa mereka meninggalkan klinik berkenaan.

‘‘Tiga hari adalah satu tempoh yang panjang bagi pemain jika tidak berlatih. Saya hanya minta mereka dilepaskan sehari awal. ‘Saya melatih mereka. Membuat latihan set-piece, sudah tentu ia menyukarkan untuk merancang permainan. Mungkin saya tersilap kerana menganggap ia cuma satu klinik dan bukannya latihan,” kata Dollah.

Sementara itu, Dollah menyambut baik kenyataan presiden baru FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahukan pasukan itu mengambil pendekatan yang lebih profesional.

‘‘Ini merupakan satu berita baik bagi peminat bola sepak Selangor sendiri. Kita amat mengharapkan orang yang berminat untuk memajukan bola sepak Selangor,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4yq9NwvwD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Felda United tetap berhati-hati



ARKIB : 27/03/2008

KUALA LUMPUR – Felda United mengetuai cabaran lima pasukan Liga Perdana untuk mencipta kejutan bagi melayakkan diri ke suku akhir Piala FA, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pasukan bimbingan Reduan Abdullah itu sudah hampir pasti ke suku akhir selepas menang besar 5-2 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan pertama.

Proton FC juga mampu mengukir sejarah jika mengatasi Melaka hari ini selepas mendahului lawan 3-2 pada pertemuan.

Tidak ketinggalan, KL Plus yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris walaupun seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama dengan Pahang.

Pasukan di tangga kedua Liga Perdana, Kuala Muda Naza ketinggalan satu gol pada perlawanan pertama tetapi tetap mempunyai harapan untuk mara jika bijak mengambil kesempatan ke atas Pulau Pinang.

Sabah juga masih berpeluang mara jika berjaya mengatasi Polis di Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini setelah tewas tipis 1-2 pada perlawanan pertama.

Apa pun, Reduan bagaimanapun enggan mendabik dada dengan jaringan besar lima gol yang diraih minggu lalu.

Katanya, pasukannya tetap akan berhati-hati apabila berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

“Saya tidak boleh katakan ia satu kedudukan selesa kerana pasukan lawan pasti akan bermain bermati-matian untuk menyekat kami.

“Pada perlawanan pertama, kami menang kerana berjaya memanfaatkan setiap peluang gol.

“Saya akan memperbaiki kelemahan yang kita lakukan sebelum ini dan para pemain diingatkan supaya tidak alpa walaupun berada pada kedudukan mendahului lawan,’’ katanya.

KL PLUS yang menguasai takhta Liga Perdana mahu mengulangi kejayaan menumbangkan ‘gergasi’ Liga Super, Perlis pada pusingan pertama.

Beraksi di depan penyokong sendiri pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini memberi kelebihan kepada KL Plus untuk meneruskan kemaraan.

Untuk memastikan kemaraan, pengendali KL PLUS, Mat Zan berkata, dia akan menurunkan kesebelasan utama hari ini termasuk penyerang import, Tercio Nunes Machado yang digantung pada perlawanan pertama.

“Kedudukan seri tanpa jaringan pada perlawanan di tempat lawan memberi kelebihan kepada kita untuk perlawanan kedua esok (hari ini).

“Berdasarkan persembahan Pahang (perlawanan pertama), kita memang mempunyai peluang.

“Namun kita tetap berhati-hati kerana Pahang yang beraksi agak hambar dalam kempen Liga Super mungkin mengalih tumpuan kepada kejuaraan tunggal yang masih tinggal iaitu Piala FA.

“Kita juga tidak memandang ringan saingan Pahang yang dibarisi pemain yang cukup berpengalaman,’’ katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yq6olqwx
© Utusan Melayu (M) Bhd