ARKIB : 14/10/2008
KUALA LUMPUR - Selepas
mempamerkan aksi mantap musim lalu, Felda United bertekad untuk beraksi
cemerlang sebaik musim baru bermula Januari ini bagi mencapai sasaran layak ke
Liga Super pada masa akan datang, lapor FERZALFIE FAUZI.
Menurut Pengerusi Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Dr. Yusof Nor, Felda United sudah
memberi laluan kepada pasukan lain musim lepas dan kali ini tidak akan memberi
ruang lagi.
''Kita tidak berjaya layak ke
Liga Super musim lepas sebab kita beri laluan kepada pasukan lain, tapi kita
tidak akan beri laluan selama-lamanya... musim baru ini kita pula akan beraksi
di Liga Super,'' katanya dalam nada berseloroh selepas Majlis Menandatangani
Kontrak Pemain Felda United Musim 2008/09 di sini semalam.
Jelasnya, beliau bangga dengan
pencapaian musim lepas, walaupun berada di pertengahan liga serta dibarisi
pemain muda.
''Saya berharap kedatangan lima
pemain baru, Nazrulerwan Makmor (KL PLUS), Zainal Rabin (Perlis), Rashid Mamud
(Pahang), Chow Chee Weng (Sabah) dan Hasmawi Hassan (Kedah) dapat memperkuatkan
lagi pasukan Felda United.
''Tidak kira di mana posisi
mereka beraksi tetapi sebagai satu pasukan semua pemain mempunyai peranan masing-masing,''
katanya.
Ujarnya, persaingan kali ini
dianggap lebih terbuka kerana semua pasukan tidak menggunakan khidmat pemain
import.
''Inilah peluang bagi pemain
tempatan membuktikan kehebatan mereka selepas ketiadaan pemain import,
khususnya Felda United jika mahu mara ke peringkat yang lebih jauh.
''Pasukan ini memegang amanat
yang besar kerana setiap negeri mempunyai kawasan Felda masing-masing dan
sentiasa mendapat sokongan padu dari warga Felda,'' kata Yusof.
Sementara itu, Pengurus
Pasukan, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab berkata, tiada masalah pembayaran gaji
menyebabkan ramai pemain berpengalaman memilih untuk mewakili Felda United.
''Semua pemain Felda United
menerima pembayaran gaji tepat pada masanya seperti mana yang diterima oleh
kakitangan Felda jadi tidak timbul masalah pemberian gaji kepada pemain.
''Selain itu gaji mereka
dibayar terus oleh Felda dan kami sentiasa mengutamakan kebajikan pemain,''
katanya.
Dalam Majlis Menandatangani
Kontrak Pemain Felda United Musim 2008/09, pasukan itu turut menerima tajaan
RM100,000 dari penaja utama, Felda D'Saji.
Kelab bola sepak Felda United
telah ditubuhkan pada 2006 hasil cetusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Abdul Razak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50vs4NSeg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan