THIAGO Augusto (dua dari kanan)
meraikan jaringan kedua Felda United. - UTUSAN ONLINE
M. Rizal Nor
16 Mac 2018 11:17 PM
MARAN 16 Mac - Felda United
menunjukkan UKM FC jalan keluar daripada saingan Piala FA selepas mencatatkan
kemenangan 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini Pahang malam ini.
Pelawat bagaimanapun terlebih
dahulu berada di depan seawal minit ke-5 apabila Kipson Atuheire merembat masuk
bola hantaran Sein Kam untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Fahrizal
Harun.
Tersentak dengan jaringan
tersebut, tuan rumah melancarkan serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan
lima minit kemudian namun tendangan Thiago Augusto tersasar di sebelah kiri
pintu gol biarpun berjaya memperdaya penjaga gol lawan, Mohamad Khairi Hassan.
Anak-anak buah B. Sathianathan
terus menggandakan asakan ke kubu lawan dan skuad The Fighters mendapatkan gol
penyamaan pada minit ke-13 apabila hantaran Thiago Augusto disudahkan dengan
baik oleh Gilberto Fortunato.
Tuan rumah hampir berada di
hadapan pada minit ke-29 namun tendangan Wan Zack Haikal Wan Nor singgah di
palang gol sebelum diselamatkan oleh Mohamad Khairi.
Kealpaan benteng pertahanan UKM
FC membawa padah apabila hantaran Mohd. Alif Mohd. Yusof menerusi tendangan
percuma di luar kotak penalti dimanfaatkan oleh Thiago Augusto pada minit ke-38
bagi memastikan tuan rumah mendahului 2-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, tuan
rumah terus menguasai permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya
namun Mohamad Khairi berjaya mengawal pintu gol dengan baik bagi mengelakkam ia
dibolosi.
Mohamad Khairi sekali lagi
bertindak cemerlang apabila menepis keluar sepakan penalti yang diambil oleh
Thiago Augusto selepas Mohd Hadin Azman dikasari pada minit ke-83.
Kedudukan itu kekal hingga tamat
perlawanan dan Felda United mara ke pusingan seterusnya manakala UKM FC pulang
dengan kehampaan. - UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/felda-united-benam-ukm-fc-1.629243#ixzz59zSfwE9P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan