ARKIB : 28/03/2009
KUALA LUMPUR - Bekas pemain
negara, Hasmawi Hassan bakal berpeluang menikmati aksi sulung persaingan bola
sepak Liga Perdana dengan Felda United yang menentang Sinar Dimaja Mai Sarah,
malam ini setelah tiga bulan tersisih kerana kecederaan buku lali.
Aksi dengan kelab Kepala Batas di
Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang itu turut akan menjadi pengukur tahap
kecergasannya dalam perlawanan sebenar walaupun dia mungkin hanya diturunkan
dalam tempoh 10 hingga 15 minit terakhir.
Penolong pengurus pasukan, Faisal
Zakariah berkata, bekas pemain Kedah itu mempunyai peluang untuk diturunkan
sebagai pemain gantian bagi mendapatkan suasana perlawanan sebenar selepas didapati
hampir pulih daripada kecederaan lamanya.
"Kami akan melihat keadaan
perlawanan semasa. Jika perlu, Hasmawi mungkin mendapat peluang bermain pada
penghujung perlawanan kerana kami tidak boleh terus memperjudikan pemain yang
baru beransur pulih, kecergasannya pun masih kurang," katanya.
Hasmawi, 28, mungkin mampu
bergandingan dengan bekas penyerang Pulau Pinang, PDRM dan skuad belia negara,
Saufi Ibrahim mahupun empat lagi rakan seposisi, Nizam Abu Bakar, Asnawi Razak,
Rizal Ahmad dan Khairul Izwan Khalid.
Faisal mengakui Felda United yang
tugas ketua jurulatihnya dipangku oleh Ahmad Fairuz Yunus, agak tempang apabila
turun ke Batu Kawan kerana kehilangan dua tonggak tengah, Chow Chee Weng dan
Zaidi Zaing yang mengalami kecederaan.
Felda yang masih merindui
sentuhan ketua jurulatihnya, Reduan Abdullah yang digantung kerana kenyataan
akhbar terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), cuma menang sekali dan
seri tiga kali sambil memungut enam mata dan di tangga kelapan Liga Perdana.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A6i5ECU9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan