Rabu, 22 November 2017

Felda harap unsur kejutan



ARKIB : 21/04/2008 
KUALA LUMPUR - Menang 2-0 dalam suku akhir kedua bola sepak Piala FA untuk mara ke separuh akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan mungkin masih sukar buat Felda United tetapi bukan mustahil untuk dicapai kerana persaingan kalah mati ini memiliki unsur kejutan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kesukaran itu kata jurulatihnya, Reduan Abdullah, cuma benar di atas kertas setelah Terengganu mendahului 3-1 daripada perlawanan pertama di Kuala Terengganu, 8 April lalu namun baki perhitungan 90 minit sebenar di padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur mungkin dapat mengubah andaian itu.

Elemen kejutan Piala FA kadangkala membantu pasukan bukan pilihan menggugat pasukan handalan sebagaimana juara bertahan Kedah yang dikejutkan PKNS 2-0 di Alor Star sebelum melepasi perlawanan pusingan pertama, Mac lalu itu dengan agregat 5-4.

Reduan, bekas pemain tengah negara era 70-an berkata: "Kami perlu lebih menyerang untuk mencapai keputusan itu (esok) sambil pertahanan diperkuatkan supaya tidak hilang tumpuan dan memberikan gol awal seperti dengan Kuala Muda (kalah 1-0 dalam Liga Perdana, Jumaat lalu).

"Memang sukar mengejar ketinggalan dua gol tetapi bukan bererti Felda United tidak boleh menyaingi sebuah pasukan Liga Super seperti Terengganu dengan satu persembahan yang baik dan tentangan sengit," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kata Redzuan, kekalahan 1-0 dengan Kuala Muda dalam Liga Perdana, Jumaat lalu juga diharap dapat mematangkan anak buahnya untuk bangkit menyekat Terengganu yang tumbang 4-2 kepada Pulau Pinang di Kuala Terengganu (Liga Super, kelmarin).

"Suku akhir pertama dengan Terengganu memberitahu kami bahawa sebarang ruang untuk lawan, wajar ditutup dengan cepat dan benteng kami wajar mengurangkan kesilapan. Bagi kami setiap peluang amat berharga dan tidak boleh dibazirkan seperti menentang Kuala Muda lalu," katanya.

Felda United yang membuat penampilan sulung dalam Liga Perdana musim 2007-2008 sekali gus mula menyertai Piala FA ke-19 ini, merapatkan kedudukan suku akhir pertama di Kuala Terengganu dengan gol Badrul Afzan Razali - bekas pemain skuad Penyu itu.

Reduan bagaimanapun menolak kemungkinan untuk membuat rombakan besar-besaran pada kesebelasan utamanya kerana masih meyakini kemampuan pemain asal selagi mereka terus menanam fikiran dan berpandangan positif dalam menghadapi Terengganu.

Kemaraan anak didik Reduan ke suku akhir bagaimanapun masih satu pencapaian yang membanggakan bersama tiga lagi pasukan Liga Perdana - Sabah, Kuala Muda dan Melaka yang masing-masing menentang kelompok Liga Super - Pahang, Selangor dan Kedah.

"Lawan seperti goyah apabila kalah kepada Pulau Pinang dan mungkin menjejaskan tumpuan dan semangat pemainnya lalu ini satu peluang yang mungkin dapat kami pergunakan untuk mencatat satu keputusan di luar dugaan," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9iK94x8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan