JUMAAT, 10 FEBRUARI 2017 @
12:13 PM
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my
JURULATIH FELDA United, Azmi
Mohamed. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber KUANTAN: Hanya selepas tiga perlawanan
Liga Super, pengendali FELDA United FC, Azmi Mohamed membuat kejutan apabila
melepaskan jawatannya.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, surat
peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada pengurusan FELDA United FC,
Selasa lalu. Katanya, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segala
faktor termasuk kemampuan diri untuk mengendalikan kelab yang dilihatnya
mempunyai misi tinggi untuk meraih pencapaian serta kedudukan terbaik.
"Sebenarnya, saya perlu
jujur dan telus untuk mengatakan keputusan ini adalah tepat demi kebaikan dan
masa depan FELDA United melangkah lebih jauh dan menjadi sebuah pasukan yang
mantap.
"Saya tidak mahu menjadi
jurulatih yang hanya mengendali pasukan dan menerima segala keputusan,
sebaliknya keputusan saya ini adalah yang terbaik untuk melihat FELDA United
dapat bersaing pada peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi,
hari ini.
Azmi berkata, walaupun sudah
menghantar surat peletakan itu, beliau masih lagi bersama pengurusan kelab dan
berhasrat mengikuti kursus untuk menimba pengalaman dalam bidang kejurulatihan
dalam tempoh terdekat . Katanya, setakat ini, beliau masih belum menerima
maklum balas daripada pengurusan tetapi berharap keputusan itu dapat diterima
demi kebaikan bersama.
"Secara peribadi saya
tidak menghadapi masalah dengan pengurusan, sebaliknya keputusan ini adalah
atas kerelaan saya sendiri kerana melihat tahap kemampuan sebenar saya untuk
mengendalikan kelab ini.
"Sepanjang tempoh ini, saya akan menambah
baik dari segi kejurulatihan dan sedia untuk kembali bersama FELDA United pada
masa depan," katanya. Dalam aksi pembukaan liga, percaturan Azmi membantu
FELDA United menang 1-0 ke atas PKNS FC tetapi tewas 1-3 kepada Johor Darul
Ta'zim (JDT) pada perlawanan kedua sebelum mengikat Kedah 1-1. The Fighters
kini mengutip empat mata dan dianggap pencapaian membanggakan kerana sudah
berdepan dua pasukan handalan, JDT dan Kedah.
SUMBER-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/246466
Tiada ulasan:
Catat Ulasan