ARKIB : 27/03/2008
KUALA LUMPUR Felda United
mengetuai cabaran lima pasukan Liga Perdana untuk mencipta kejutan bagi
melayakkan diri ke suku akhir Piala FA, lapor SAYED HESHAM IDRIS.
Pasukan bimbingan Reduan
Abdullah itu sudah hampir pasti ke suku akhir selepas menang besar 5-2 ke atas
Kuala Lumpur pada perlawanan pertama.
Proton FC juga mampu mengukir
sejarah jika mengatasi Melaka hari ini selepas mendahului lawan 3-2 pada
pertemuan.
Tidak ketinggalan, KL Plus yang
dibimbing bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris walaupun seri tanpa
jaringan pada perlawanan pertama dengan Pahang.
Pasukan di tangga kedua Liga
Perdana, Kuala Muda Naza ketinggalan satu gol pada perlawanan pertama tetapi
tetap mempunyai harapan untuk mara jika bijak mengambil kesempatan ke atas
Pulau Pinang.
Sabah juga masih berpeluang
mara jika berjaya mengatasi Polis di Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini
setelah tewas tipis 1-2 pada perlawanan pertama.
Apa pun, Reduan bagaimanapun
enggan mendabik dada dengan jaringan besar lima gol yang diraih minggu lalu.
Katanya, pasukannya tetap akan
berhati-hati apabila berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan kedua di Stadium
Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.
Saya tidak boleh katakan ia
satu kedudukan selesa kerana pasukan lawan pasti akan bermain bermati-matian
untuk menyekat kami.
Pada perlawanan pertama, kami
menang kerana berjaya memanfaatkan setiap peluang gol.
Saya akan memperbaiki
kelemahan yang kita lakukan sebelum ini dan para pemain diingatkan supaya tidak
alpa walaupun berada pada kedudukan mendahului lawan, katanya.
KL PLUS yang menguasai takhta
Liga Perdana mahu mengulangi kejayaan menumbangkan gergasi Liga Super, Perlis
pada pusingan pertama.
Beraksi di depan penyokong
sendiri pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini memberi
kelebihan kepada KL Plus untuk meneruskan kemaraan.
Untuk memastikan kemaraan,
pengendali KL PLUS, Mat Zan berkata, dia akan menurunkan kesebelasan utama hari
ini termasuk penyerang import, Tercio Nunes Machado yang digantung pada
perlawanan pertama.
Kedudukan seri tanpa jaringan
pada perlawanan di tempat lawan memberi kelebihan kepada kita untuk perlawanan
kedua esok (hari ini).
Berdasarkan persembahan Pahang
(perlawanan pertama), kita memang mempunyai peluang.
Namun kita tetap berhati-hati
kerana Pahang yang beraksi agak hambar dalam kempen Liga Super mungkin mengalih
tumpuan kepada kejuaraan tunggal yang masih tinggal iaitu Piala FA.
Kita juga tidak memandang
ringan saingan Pahang yang dibarisi pemain yang cukup berpengalaman, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yq6olqwx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan