ARKIB : 03/03/
KUALA LUMPUR - Pengurusan kelab Felda United mengarahkan ketua jurulatihnya, Reduan Abdullah yang digantung setahun kerana kenyataan akhbarnya terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bercuti dengan gaji selama sebulan sementara menantikan proses rayuan kesnya.
Presiden kelab Liga Perdana itu, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab berkata, tugas melatih pasukan kini diambil alih sementara oleh penolongnya, Ahmad Fairuz Yunus sambil dibantu Ridzuan Abu Shah dan Zamzuri Mohd. Noor khususnya mulai perlawanan menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 13 Mac ini.
"Memandangkan Reduan tidak boleh terlibat dengan sebarang kegiatan bola sepak, kami perlu susun semula pasukan dan program persediaan liga. Kami perlu bertindak cepat untuk mendapat kedudukan liga yang lebih baik," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Reduan di Wisma Felda semalam.
Mesyuarat itu berupa satu siasatan rasmi Felda United terhadap bekas pemain tengah Selangor dan Malaysia era 70-an hingga 80-an ini yang digantung setahun dan didenda RM4,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, Khamis lalu kerana kenyataannya berhubung pemantauan terhadap Ujian Kecergasan Yoyo.
Kata Dzulkifli yang juga pengurus pasukan, proses rayuan terhadap hukuman FAM itu kini terpulang kepada Reduan sebagai individu tetapi pengurusan perlu meletakkan kepentingan Felda United melebihi segala-galanya dan perjuangan pasukan perlu diteruskan dalam apa juga keadaan yang mendatang.
Mengenai sama ada hukuman FAM itu terlalu keras buat Reduan yang mempunyai rekod disiplin yang baik termasuk ketika karier sebagai pemain, Dzulkifli enggan mengulas malah menyifatkannya satu soal yang berlainan untuk dikaitkan dengan penajaan Felda dalam Liga Futsal Kebangsaan yang mungkin terjejas selepas ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz52T8pIwRC
© Utusan Melayu (M) Bhd