Rabu, 22 November 2017

Felda harap unsur kejutan



ARKIB : 21/04/2008 
KUALA LUMPUR - Menang 2-0 dalam suku akhir kedua bola sepak Piala FA untuk mara ke separuh akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan mungkin masih sukar buat Felda United tetapi bukan mustahil untuk dicapai kerana persaingan kalah mati ini memiliki unsur kejutan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kesukaran itu kata jurulatihnya, Reduan Abdullah, cuma benar di atas kertas setelah Terengganu mendahului 3-1 daripada perlawanan pertama di Kuala Terengganu, 8 April lalu namun baki perhitungan 90 minit sebenar di padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur mungkin dapat mengubah andaian itu.

Elemen kejutan Piala FA kadangkala membantu pasukan bukan pilihan menggugat pasukan handalan sebagaimana juara bertahan Kedah yang dikejutkan PKNS 2-0 di Alor Star sebelum melepasi perlawanan pusingan pertama, Mac lalu itu dengan agregat 5-4.

Reduan, bekas pemain tengah negara era 70-an berkata: "Kami perlu lebih menyerang untuk mencapai keputusan itu (esok) sambil pertahanan diperkuatkan supaya tidak hilang tumpuan dan memberikan gol awal seperti dengan Kuala Muda (kalah 1-0 dalam Liga Perdana, Jumaat lalu).

"Memang sukar mengejar ketinggalan dua gol tetapi bukan bererti Felda United tidak boleh menyaingi sebuah pasukan Liga Super seperti Terengganu dengan satu persembahan yang baik dan tentangan sengit," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kata Redzuan, kekalahan 1-0 dengan Kuala Muda dalam Liga Perdana, Jumaat lalu juga diharap dapat mematangkan anak buahnya untuk bangkit menyekat Terengganu yang tumbang 4-2 kepada Pulau Pinang di Kuala Terengganu (Liga Super, kelmarin).

"Suku akhir pertama dengan Terengganu memberitahu kami bahawa sebarang ruang untuk lawan, wajar ditutup dengan cepat dan benteng kami wajar mengurangkan kesilapan. Bagi kami setiap peluang amat berharga dan tidak boleh dibazirkan seperti menentang Kuala Muda lalu," katanya.

Felda United yang membuat penampilan sulung dalam Liga Perdana musim 2007-2008 sekali gus mula menyertai Piala FA ke-19 ini, merapatkan kedudukan suku akhir pertama di Kuala Terengganu dengan gol Badrul Afzan Razali - bekas pemain skuad Penyu itu.

Reduan bagaimanapun menolak kemungkinan untuk membuat rombakan besar-besaran pada kesebelasan utamanya kerana masih meyakini kemampuan pemain asal selagi mereka terus menanam fikiran dan berpandangan positif dalam menghadapi Terengganu.

Kemaraan anak didik Reduan ke suku akhir bagaimanapun masih satu pencapaian yang membanggakan bersama tiga lagi pasukan Liga Perdana - Sabah, Kuala Muda dan Melaka yang masing-masing menentang kelompok Liga Super - Pahang, Selangor dan Kedah.

"Lawan seperti goyah apabila kalah kepada Pulau Pinang dan mungkin menjejaskan tumpuan dan semangat pemainnya lalu ini satu peluang yang mungkin dapat kami pergunakan untuk mencatat satu keputusan di luar dugaan," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9iK94x8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Jangan salahkan pemain – Dollah



ARKIB : 28/03/2008 
SHAH ALAM – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh semalam mahu empat pemainnya tidak dipersalahkan gara-gara meninggalkan klinik yang dikendalikan oleh legenda bola sepak Liverpool, Ian Rush anjuran Liga Super Malaysia sehari lebih awal.

Empat pemain Selangor – Mohd. Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Akmal Rizal Rakhli dilaporkan meninggalkan klinik tiga hari itu untuk berlatih bersama pasukan Selangor di Shah Alam menjelang aksi penting pusingan kedua Piala FA.

‘‘Saya tidak salahkan pemain. Mereka juga terkeliru tentang siapa yang harus dipatuhi. Saya memang memerlukan mereka tetapi ia tidak bermakna kami menentang peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

‘‘Selama ini pun, kami memang patuh kepada FAM. Tahun lepas, empat pemain saya tidak dapat beraksi pada suku akhir Piala Malaysia kerana terlibat bersama pasukan kebangsaan di Australia.

‘‘Bezanya, kali ini saya terpaksa memanggil mereka menyertai latihan kerana menganggap ia hanya satu sesi klinik dan bukannya latihan pasukan kebangsaan,” kata Dollah.

Menurut Dollah, beliau bersama Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin merangkap pemangku pengurus pasukan akan memberi penjelasan kepada FAM berhubung perkara itu.

Ketika memberikan reaksi kelmarin, Setiausaha Agong FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata, beliau telah meminta laporan penuh daripada jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan.

Malah Azzudin mahukan keempat-empat pemain itu memberikan penjelasan bertulis mengapa mereka meninggalkan klinik berkenaan.

‘‘Tiga hari adalah satu tempoh yang panjang bagi pemain jika tidak berlatih. Saya hanya minta mereka dilepaskan sehari awal. ‘Saya melatih mereka. Membuat latihan set-piece, sudah tentu ia menyukarkan untuk merancang permainan. Mungkin saya tersilap kerana menganggap ia cuma satu klinik dan bukannya latihan,” kata Dollah.

Sementara itu, Dollah menyambut baik kenyataan presiden baru FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahukan pasukan itu mengambil pendekatan yang lebih profesional.

‘‘Ini merupakan satu berita baik bagi peminat bola sepak Selangor sendiri. Kita amat mengharapkan orang yang berminat untuk memajukan bola sepak Selangor,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4yq9NwvwD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Felda United tetap berhati-hati



ARKIB : 27/03/2008

KUALA LUMPUR – Felda United mengetuai cabaran lima pasukan Liga Perdana untuk mencipta kejutan bagi melayakkan diri ke suku akhir Piala FA, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pasukan bimbingan Reduan Abdullah itu sudah hampir pasti ke suku akhir selepas menang besar 5-2 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan pertama.

Proton FC juga mampu mengukir sejarah jika mengatasi Melaka hari ini selepas mendahului lawan 3-2 pada pertemuan.

Tidak ketinggalan, KL Plus yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris walaupun seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama dengan Pahang.

Pasukan di tangga kedua Liga Perdana, Kuala Muda Naza ketinggalan satu gol pada perlawanan pertama tetapi tetap mempunyai harapan untuk mara jika bijak mengambil kesempatan ke atas Pulau Pinang.

Sabah juga masih berpeluang mara jika berjaya mengatasi Polis di Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini setelah tewas tipis 1-2 pada perlawanan pertama.

Apa pun, Reduan bagaimanapun enggan mendabik dada dengan jaringan besar lima gol yang diraih minggu lalu.

Katanya, pasukannya tetap akan berhati-hati apabila berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

“Saya tidak boleh katakan ia satu kedudukan selesa kerana pasukan lawan pasti akan bermain bermati-matian untuk menyekat kami.

“Pada perlawanan pertama, kami menang kerana berjaya memanfaatkan setiap peluang gol.

“Saya akan memperbaiki kelemahan yang kita lakukan sebelum ini dan para pemain diingatkan supaya tidak alpa walaupun berada pada kedudukan mendahului lawan,’’ katanya.

KL PLUS yang menguasai takhta Liga Perdana mahu mengulangi kejayaan menumbangkan ‘gergasi’ Liga Super, Perlis pada pusingan pertama.

Beraksi di depan penyokong sendiri pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini memberi kelebihan kepada KL Plus untuk meneruskan kemaraan.

Untuk memastikan kemaraan, pengendali KL PLUS, Mat Zan berkata, dia akan menurunkan kesebelasan utama hari ini termasuk penyerang import, Tercio Nunes Machado yang digantung pada perlawanan pertama.

“Kedudukan seri tanpa jaringan pada perlawanan di tempat lawan memberi kelebihan kepada kita untuk perlawanan kedua esok (hari ini).

“Berdasarkan persembahan Pahang (perlawanan pertama), kita memang mempunyai peluang.

“Namun kita tetap berhati-hati kerana Pahang yang beraksi agak hambar dalam kempen Liga Super mungkin mengalih tumpuan kepada kejuaraan tunggal yang masih tinggal iaitu Piala FA.

“Kita juga tidak memandang ringan saingan Pahang yang dibarisi pemain yang cukup berpengalaman,’’ katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yq6olqwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 November 2017

Felda puas 'dendam' berbalas



ARKIB : 27/02/2008

KUALA LUMPUR - Jurulatih Felda United, Reduan Abdullah berpuas hati kerana berjaya melunaskan dendam kekalahan 0-1 minggu lalu apabila membenam Kuala Lumpur 3-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana, kelmarin.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, kemenangan selesa di tempat lawan, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin juga meletakkan pasukannya pada landasan untuk menduduki kelompok teratas pada musim pertama saingan liga.

''Keputusan ini melenyapkan dendam Felda United selepas tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur minggu lalu.

''Kemenangan dapat dilakar malam ini (kelmarin) kerana pemain mengikut arahan dan mengawal setiap sudut padang.

''Apa yang lebih penting, saya mahu terus memperbaiki persembahan pasukan supaya sasaran untuk mencatat kedudukan terbaik pada penghujung musim dapat dicapai,'' katanya.

Pelawat selesa mendahului dua gol pada babak pertama menerusi rembatan deras Benson Anih Ajike pada minit kesembilan, disusuli penyudah yang hampir serupa Badrul Afzan Razali pada minit ke-20.

Kuala Lumpur merapatkan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Impraim Godfred Attah.

Harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata punah apabila Felda United memperoleh penalti selepas Ahmad Nurfaizal Patrick dijatuhkan di kawasan penalti.

Bayemi Maemble Eric Arsene menyempurnakan penalti pada minit ke-83.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Felda United di tangga keenam Liga Perdana dengan mengumpul 18 mata dari 13 perlawanan.

Sementara itu, kekalahan ketujuh kelmarin menyebabkan skuad Kuala Lumpur yang dibimbing oleh Heinz- Jrgen Gede terus menghuni tangga kesembilan dengan mengumpul 12 mata dari 13 perlawanan setakat ini.

Tidak seperti babak pertama, persembahan Felda United hambar dibabak kedua pada perlawanan kelmarin sehingga membenarkan tuan rumah memperoleh banyak peluang gol.

Menyedari kelemahan itu, Reduan membuat beberapa pertukaran khususnya di bahagian tengah bagi mengembalikan penguasaan.

''Walaupun selesa mendahului dengan dua gol di babak pertama, ia masih belum selamat untuk kami apatah lagi dengan permainan longgar di babak kedua.

''Saya mengucapkan syabas kepada pemain kerana sejurus beberapa pertukaran dilakukan di babak kedua, pemain berjaya menukar rentak permainan seterusnya menguasai perlawanan,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4yhk3ftus
© Utusan Melayu (M) Bhd