TIGA pemain FELDA United
mengekang pergerakan penyerang Johor DT.
Maran: Pengendali pasukan FELDA
United Irfan Bakti berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya
walaupun misi membenamkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak kesampaian dalam
saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam kelmarin.
Meskipun tewas 2-3, beliau
tetap berbangga kerana skuad kendaliannya berupaya melangkah ke saingan Piala
AFC musim depan.
“Kami bermati-matian untuk
menyamakan keputusan selepas dua kali ketinggalan, tapi kurang bernasib baik
untuk menang.
“Sudah pasti kami berasa kecewa
dengan keputusan ini, namun secara keseluruhan kami berjaya memberikan cabaran
sengit kepada mereka sebelum menang,” katanya.
Irfan berkata, senario yang
merencatkan rentak skuad The Fighters bermula pada babak kedua perlawanan
apabila pasukan mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Nor Fazly
Alias dikenakan kad merah pada minit ke-58.
Beliau berkata, ketiadaan
pemain itu mengakibatkan mereka sukar bertahan dengan baik selepas melancarkan
serangan ke arah kubu lawan.
Sementara itu, perlawanan malam
tadi turut menyaksikan beberapa insiden panas berlaku antaranya pengendali
Johor DT Mario Gomez bertindak masuk ke padang bagi memprotes beberapa
keputusan pengadil selepas tamat separuh masa pertama.
Selain itu, permainan juga
terpaksa dihentikan beberapa minit di separuh masa kedua susulan segelintir
penonton membaling botol minuman kepada pemain Johor DT, Mohd Aidil Zafuan Abd
Razak yang berada di tepi padang. - BERNAMA
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 5:09 AM