Mohamad Azim Fitri Abdul Aziz
sukan@hmetro.com.my
Maran: “Taktikal tidak salah
cuma pemain tidak beraksi seperti yang sepatutnya. Akibatnya, kami tewas,” kata
jurulatih FELDA United, B Sathianathan selepas dikecewakan 1-3 oleh PKNP FC
dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, kelmarin.
Beliau berkata, kawalan bola
yang tidak kemas, hantaran dan pertarungan satu lawan satu yang tidak menjadi
antara pemainnya dan pasukan pelawat muncul penyebab skuad kendaliannya tidak
dapat bermain seperti dirancang.
“Saya ucap tahniah kepada PKNP,
mereka bermain dengan baik. Kawalan bola, hantaran dan penyudah di hadapan gol
mereka sangat berkesan. Separuh masa pertama mereka bermain dengan agresif
hingga pemain saya tidak dapat menyaingi taktikal yang digunakan.
“Pemain tak dapat menyaingi
keupayaan ketika situasi satu lawan satu, mental juga tidak kuat menyebabkan
kami ketinggalan dua gol pada babak pertama,” katanya.
Beliau berkata, jika prestasi
sama terus dipamerkan pada aksi timbal balik di Ipoh nanti, skuad The Fighters
sudah boleh melupakan aksi separuh akhir.
Katanya, tiada sebab FELDA
United perlu bermain dalam keadaan tertekan di laman sendiri kerana mereka
sudah biasa berlatih menggunakan padang sintetik berbanding skuad kendalian Abu
Bakar Fadzim itu.
“Apa-apa pun saya kena
bertanggung jawab dengan kekalahan ini kerana tidak dapat menyediakan pasukan
dalam keadaan baik. Saya kena lihat semula apa yang perlu diperbaiki untuk kami
hadapi aksi kedua nanti,” katanya.
Mengulas mengenai keseluruhan
pemain yang diturunkan pada perlawanan itu, Sathianathan berkata, hanya Thiago
Augusto yang bermain dengan baik berbanding pemain lain.
Sementara itu, Abu Bakar memuji
aksi anak buahnya pada perlawanan itu kerana berjaya meraih kemenangan di
tempat lawan sekali gus membawa bekalan selesa pada aksi di Ipoh minggu depan.
“Alhamdulillah kami memperoleh
kemenangan positif. Bukan mudah hendak mencatat kemenangan di laman lawan
lebih-lebih lagi berhadapan dengan FELDA United. Pemain bermain dengan tenang
dan berjaya mengawal asakan pasukan lawan,” katanya.
Beliau melihat peluang
pasukannya cerah untuk ke separuh akhir sekiranya mampu mengulangi aksi
cemerlang seperti di Jengka pada aksi timbal balik nanti.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:49 AM